Saturday, May 19, 2007

29 - Mari Menuntut Ilmu

Dikarang di tahun keempat atau kelima keberadaan di Mesir.

Sajak: Mari Menuntut Ilmu
Oleh: Mohd Zaki.

Marilah belajar dengan penuh kesungguhan
dengan segala cara yang kau terfikirkan
semoga hatimu puas tidak tersesalkan
walau yang lain kecewa tidak bersetujuan.

Marilah usahakan segala kaedah dan jalan
redahi onak, duri, ranjau dan cabaran
biar luka parah dan sakit bertahankan
sekalipun yang lain rasa tak berkeperluan.

Marilah menujunya dengan segala kelapangan
dalam hatimu, agar kau menerimanya dengan
segala jiwamu, bahawa inilah rupanya jalan
ditunjukkan dirimu, dengan inti keikhlasan
pada Tuhanmu.

Marilah buangkan ragu-ragu dan dzan
pada diri, bimbang akan tumpas kekecewaan
di akhir nanti, bahawa yakinkan percayakan
tak berbelah bagi, walau yang lain bertanyaan;
apa yang kaubuat ini?

Marilah lupakan kebimbangan tanamkan
keyakinan, buangkan sifat segan
tanyakan segala kekeliruan, hindarkan
bangga diri, tolak pendek ketamakan
kejar dalam kepuasan.

Marilah belajar cantum hubungkan
hujung buaian dengan pangkal kuburan.

Saturday, March 31, 2007

28 - Untuk Yang Terutama, Mengingati Yang Teristimewa

Ditulis di tahun keempat atau kelima pengajian di luar negara.

Sajak:Bakal Pejuang Yang Kehausan
Oleh: Mohd Zaki.

Kelmarin yang menghantar cinta ke hari ini
adalah rindu yang benar tulus ikhlas
dari hati tulen bersih suci
insan yang bernama
Muhammad.

Semalam yang membukukan sayang ke detik ini
adalah intipati luahan terakhir kekasih
menyusuri telinga meniti ke bibir
dipahat pena dipaku ke lembar
oleh insan terpecaya
bernama sahabat.

Hari ini yang mengajarkan engkau erti cinta kasih sayang dan rindu
kepada Baginda yang tersungguh benar-benar tak terselindung;
membalas cinta dengan cinta, rindu dengan rindu
kasih dengan kasih, sayang dengan sayang
adalah kebenaran sabit tak tertolak
tanda teguh gunung ingatanmu
masih dan kekal padu.

Usolli 'a-laik
Wa kullu l-wujuudi
solaatun wa shauqun ilaik

Tuesday, March 13, 2007

27 - Bakal Pejuang Yang Kehausan

Dikarang ketika di tahun ketiga atau keempat di perantauan.

Sajak: Bakal Pejuang Yang Kehausan
Oleh: Mohd Zaki

Bukankah kau yang
menempatkan cintamu
pada peti harapan
lalu kauhanyutkan
ke muara takdir?

Bukankah cinta
yang kau hanyutkan itu
tiba ke destinasi qada'
lalu dikutip masuk
ke mahligai ketentuan?

Bukankah kau yang
berlari mengejar cinta
yang kaucampakkan
ke peti harapan
ke muara takdir?

Bukankah cintamu
yang memaksamu menangis
menghibai pemergian
cinta yang keputusan?

Bukankah kau yang
menerjah mahligai yang memutuskan
cintamu, yang mengharu-birukan
jiwamu, tapi kembali kaudakapi
cintamu,
untuk kau susukan,
bakal pejuang yang kehausan?

Friday, February 02, 2007

26 - Bumi Hati

Dikarang di tahun ketiga atau keempat di perantauan.

Sajak: Bumi Hati
Oleh: Mohd Zaki

Air mataku menjadi hujan
yang turun ke langit
berkumpul-kumpul
menghitamkan awan
lalu menyejat ke bumi.

Bumi hati.